Search This Blog

Part 1: Memahami Hukum Syariat dalam Islam



Takrif al-Syariah adalah bersifat umum dan lebih tertumpu pada akidah, ibadah dan akhlak. Syariah juga dikenali sebagai ad-deen (dipatuhi dan mengabdikan diri kepada Allah) atau al-Millah (memenuhi segala keperluan manusia) yang berdasarkan al Quran dan Sunnah.

Takrif feqah pula bersifat khusus dari amalan akidah, ibadah dan akhlak seperti Fiqh Ibadah, Fiqh Muamalat, Fiqh Munakahat, Fiqh Jinayat dll. Syariat Islam bersifat Alamiyyah dan Umumiyyah (universal and general). Hukum syariah bersifat syumul (universal) dan kekal sehingga akhirat. 

Hukum feqah pula bersifat al-amaliyyah (diamalkan) dan at-tafshiliyyah (bersifat terperinci) serta ia bertukar-tukar bergantung pada keadaan, masa, situasi dan uruf. Segala hukum-hakam fekah dibina di atas prinsip membawa kebaikan dan menolak kerosakan kepada manusia. 

Sejarah pembinaan hukum Islam terbahagi kpd 6 peringkat:

a) Zaman Nabi SAW
- Bermula sejak diutusnya Muhammad sebagai Rasul sehingga kewafatan baginda (11 H/632 M). Ia juga disebut zaman risalah.
- Zaman Fiqh yg paling penting
- Fiqh wahyu sahaja


Pembentukan undang-undang Islam zaman Nabi SAW dibahagi kepada dua peringkat;

a) Peringkat pertama: Pembinaan hukum di Mekah (13 tahun)

- lebih fokus kpd akidah dan akhlak (moral masyarakat, keimanan kpd Allah, Malaikat, Rasul dll)
- Hukum hakam amali sangat sedikit
- Hukum Islam diturunkan untuk semua manusia (bukan hanya kpd orang Islam sahaja)

Contohya, kebiasaan masyarakat Mekah menyembah berhala, mengamalkan amalan nenek-moyang, kepercayaan tathayyur atau thiyarah, menujum nasib dll. Setelah diangkatnya Nabi Muhammad SAW dan mengajak masyarakat Mekah untuk meninggalkan kebiasaan-kebiasaan terdahulu, dan menyembah hanya kepada Allah SWT.


Peringkat kedua: Pembinaan Hukum di Madinah (10tahun)

- Hijrah sahabat ra.
- Nabi SAW jadi ketua Negara Islam
- Umat Islam memerlukan kpd perundangan Islam/Fiqh.
- 10 tahun di Madinah Nabi SAW mengajar semua syariat hukum-hakam ibadah dan muamalat. Dari perkara ibadah spt solat, wuduk, pergi Haji, puasa, kebersihan diri sehingga ke urusan perniagaan dan urusan kehidupan harian.

b) Zaman Khulafa al-Rasyidin
- Bermula sejak wafatnya Nabi Muhammad SAW sehingga Mu'awiyah bin Abu Sufyan memegang tampuk pemerintahan Islam (41 H/661 M)

c) Zaman Awal Pertumbuhan
- Selepas zaman klulafa' al-Rasyidin - Masa ini dimulai pada pertengahan abad pertama sehingga ke awal abad ke-2 H.

d) Zaman Keemasan
- Selepas zaman kedua hjrah sehingga pertengahan keempat hijrah - bermula awal abad ke-2 sehingga pertengahan abad ke-4 H.

e) Zaman Tahrir, Takhrij dan Tarjih
- Kurun keempat Hijrah sehingga kejatuhan Baghdad pada 656H - dalam mazhab fiqh bermula dari pertengahan abad ke-4 sehngga pertengahan abad ke-7 H.

f) Zaman Kemunduran
- Masa kejatuhan Baghdad sehingga sekarang - bermula dari pertengahan abad ke-7 H. sehingga munculnya Majalah al-Ahkam al- 'Adliyyah (Hukum Sivil Kerajaan Turki Usmani) (26 Sya'ban l293.)

Segala hukum hakam dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu perkara ibadat atau muamalat. Ibadat (spt rukun Islam, iman, solat, dll) adalah segala pensyariatan dan peraturan yang berkaitan dengan perhubungan dengan Allah SWT. Hukum asas untuk perkara ibadat adalah 'semuanya dilarang kecuali terdapat dalil untuk membenarkannya' yang berlandaskan dari sebuah hadith yang berbunyi:

“Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam agama kami ini yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak.” (HR. Bukhari no. 20 dan Muslim no. 1718).

Ibnu ‘Atthor, salah seorang dari anak murid Imam Nawawi menjelaskan mengenai hadits di atas, “Para ulama menganggap perbuatan bid’ah yang tidak pernah diajarkan dalam Islam yang direkayasa oleh orang yang tidak berilmu, di mana amalan tersebut adalah sesuatu yang tidak ada landasan (tidak berdalil), maka sudah sepantasnya hal ini diingkari. Pelaku bid’ah cukup disanggah dengan hadits yang shahih dan tegas ini kerana perbuatan bid’ah itu mencacati ibadah.” (Syarh Al Arba’in An Nawawiyah - Mukhtashor An Nawawi’, hal. 72)

Penjelasan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi; "Ibadah meliputi dua perkara iaitu tidak menyembah melainkan hanya pada Allah SWT, dan tidak beribadah melainkan dengan apa yang disyariatkan oleh Allah SWT, maka sesiapa yang mereka-reka atau mengada-adakan ibadah walau siapa pun dia, maka ia sangat tercela dan tertolak, hal ini kerana Allah sahaja yang layak untuk menentukan ibadah demi mendekatkan hamba kepadanya." (Taklimiyyah Muhimmah Fi Ilmi Ushul Fiqh - Syaikh Ali Hasan al-Halabi, M/s 36 , cetak pertama, terbitan Pustaka al-Kautsar)

Manakala muamalat pula merupakan semua tatacara, pensyariatan dan interaksi dalam urusan dunia yang bersangkut paut dengan perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah SWT seperti akad perniagaan, akad perkhawinan, hukum faraid, zakat dll.

Semua perkara dan urusan Muamalat adalah dibolehkan (harus dan halal) selagi tiada nas dan dalil yang membuktikan larangannya (mengharamkannya) dan segala urusan ibadat(perkara yg berkaitan dengan akidah) adalah haram sehingga terdapat nas dan dalil yang membenarkannya(menghalalkannya). Hukum asas untuk perkara muamalat adalah 'segalanya harus kecuali terdapat dalil yang mengharamkannya' sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT:

"Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi..."(QS 2:29)

"Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)." (QS 67:15)

Inilah hukum yang paling asas (ibadat dan muamalat) yang akan dipertimbangkan oleh para ulama fuquha apabila berdepan dengan sesuatu masalah yang berkaitan dengan Islam. Selepas itu, barulah mereka akan menggunakan ijtihad masing2 berserta dengan pertimbangan qawaid al-fiqhiyyah dan maqasid syariah untuk menghasilkan sesuatu hukum dalam bentuk fatwa.

Secara ringkas, qawaid al-fiqhiyyah (kaedah fiqh dalam Islam atau legal maxims of Islamic jurisprudence) adalah:

1) Setiap amal perbuatan Itu bergantung pada Niat (al-Umur bi-maqasidiha)

2) Keyakinan tidak hilang dengan keraguan (al-Yaqin la yuzalu bish-shakk)

3) Membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan (al-Dararu yuzal)

4) Kesulitan atau kesusahan disertai dengan kemudahan. (al-Mashaqqat tujlab al-taysir)

5) Adat (Urf) sebagai sumber dan dalil ketentuan hukum (tahkim al-'Adat wa al-ruju' ilayha)

Manakala maqasid syariah pula bermaksud tujuan atau objective hukum syariat tersebut. Hukum hakam dalam Islam bukanlah sesuatu perundangan yang keras dan beku. Ia adalah berlandaskan fitrah dan kemampuan manusia sejagat. Maqasid syariah terbahagi kepada 3 bahagian, iaitu maslahah daruriyyat, maslahah hajiyyat dan maslahah tasiniyyat.

Dalam Islam, apa yang haram kepada kamu tidak semestinya haram bagi orang lain dan apa yang halal bagi kamu tidak semestinya haram untuk orang lain. Ini adalah kerana setiap individu mempunyai keperluan yang berlainan dan juga dalam situasi yang berlainan.

Apabila seseorang kehilangan maslahah daruriyyat dan berada dalam keadaan darurat, maka perkara2 haram akan menukar jadi harus untuk mereka. Contohnya, hukum asal memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah adalah haram tetapi jika seseorang dalam keadaan darurat, maka hukum bagi mereka adalah harus (QS 2:173).

Islam adalah agama yang mudah kerana ia diturunkan oleh Allah SWT yang menciptakan manusia dan alam semesta. Oleh itu, Dia tahu apa yang termampu bagi kita dalam menghadapi urusan2 kehidupannya dan tidak akan menzalimi kita dengan beban yang tidak mampu dipikul oleh kita sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya."(QS 2:286)

Dari Abu Hurairah r.a, bahwa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya agama itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agama melainkan ia akan dikalahkan. Oleh kerana itu kerjakanlah dalam kadar semampu-nya dan bergembiralah (dengan pahala Allah) dan mohonlah pertolongan di waktu pagi, petang dan sebahagian malam” (Hadis Riwayat Bukhari no.39)


Wallahu'alam





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.